1. Iftar, Berbuka puasa, atau Sungkey (lebih popular di Sabah Sarawak) membawa maksud yang sama. Apa pun semoga kita sama sama tidak membazir diwaktu berbuka dan mudah mudahan juga ibadah Puasa seharian kita diterima Allah.
2. Pemikir bukanlah hendak membicarakan menu berbuka puasa hari ini atau hari hari sebelumnya secara khusus. Tentunya itu bukanlah sesuatu yang baik kerana boleh menimbulkan rasa 'ingin' / terliur sekiranya dibaca atau dilihat oleh mereka yang kurang mampu sebagaimana yang pernah berlaku pada diri Pemikir.
3. Hal ini berlaku pada tahun 2012 di awal ramadhan di sebuah kedai Makan di Gong Badak, Terengganu. Ketika menjamah makanan pada awal Ramadhan saya dan isteri memesanlah makanan yang agak 'mewah' kononnya hendak meraikan Ramadhan. Walhal ianya kalau difikirkan adalah lebih kepada satu pembaziran.
4. Ada ikan siakap 3 rasa, tomyam campur, khailan ikan masin, telur dadar, daging masak merah, sambal belacan dan air laici kang. Untuk makan berdua memang nampak mewah kan. Apa tidaknya RM 67.00 sekali makan berdua. Maka duduklah kami suami isteri menunggu waktu berbuka / sungkey.
5. Mungkin Allah hendak menegur sikap saya yang agak boros. Maka, duduklah sebuah keluar ga lima beranak di yang tidak jauh di sebelah kami. Empat orang anak dan ibu mereka. Tidak pula saya ketahui sama ada bapa mereka masih hidup atau tidak, tetapi pada ketika itu, bapa kepada keluara empat beranak ini tiada bersama. Dan jelas dari segi pakaian, keluarga ini kemungkinan adalah dari golongan yang kurang berada.
6. Waktu berbuka telah hampir tiba, namun saya melihat hanya ada semangkun tomyam dan beberapa jenis air manis seperti air bandung dan teo o ais selain buah kurma yang diberikan percuma oleh tuan empunya kedai. Kamudian beberapa minit lagi untuk berbuka tibalah satu lagi lauk di meja mereka yang setelah saya intai dari hujung mata, ianya sepinggan telur dadar. Saya merasakan ada lagi lauk yang belum sampai pada masa itu. Dalam masa yang sama saya perasan anak anak itu menoleh ke meja saya tetapi si ibu hanya tunduk kaku. Rupanya sehingga waktu berbuka, itulah sahaja lauk yang mereka jamah.
7. Waktu berbuka pun tiba. Setelah membaca doa, saya dan isteri mulalah makan dan begitu juga dengan pelanggan lain di kedai tersebut. Disebabkan rasa hati yang kurang senang, saya menoleh ke meja lima beanak tersebut. Mereka makan dengan gembira walaupun hanya berlaukkan semangkuk tomyam dan telur dadar. Riak wajah mereka sangat gembira. Saya terfikir, inilah keadillan Allah, menjelmakan kegembiraan pada keluarga yang kurang mampu ini walaupun dengan hidangan yang serba kekurangan.
8. Saya menjadi sangat serba salah, ingin memberikan sedikit lauk kami kepada mereka, takut takut keluarga ini malu dan dimalukan oleh tindakan saya. Terus terang saya rasakan sangat bersalah, dan berbuka puasa pada petang itu adalah berbuka puasa yang paling tidak menyelerakan pada saya walaupun terhidang lauk pauk yang sedap.
9. Akhirnya saya perasan bahawa keluarga ini sedar yang saya sedang memerhati gelagat keluarganya dan saya lihat wajah ibu mereka kurang senang dengan keadaan itu. Maka, saya teruskan makan tanpa menoleh ke arah mereka takut takut memburukan lagi keadaan. Dan disebabkan itu saya tidak sedar keluarga ini beredar walaupun ada niat saya untuk turut membayar hidangan mereka, namun semuanya menjadi serba salah. Sama ada tindakan saya itu betul atau saya akan menyebabkan mereka lebih rasa terhina. Saya hanya mampu berdoa " Ya Allah... Engkau Murahkanlah Rezeki Kaluarga Ini". Setelah keluarga ini tiada di situ, barulah saya rasa sedikit senang untuk menjamah makanan dengan tidak ada rasa bersalah dan rasa kesihan. tetapi ianya tetap terpahat dalam ingatan saya.
10. Sebelum saya tamatkan perkongsian ini, ingin saya berpesan kepada sesiapa yang sering memaparkan makanan mewah di facebook dan twitter. Berpada padalah berbuat demikian kerana di laman sosial ini lagi rmai yang melihatnya dan kebarangkalain lagi ramailah yang akan 'terasa' atau terliur dengan perbuatan anda. Pemikir merasakan ianya bukanlah sesuatu yang baik. Jangan Membazir ketika berbuka...
Wallahuallam...